Konsep Majalah Majalah_Ana_Muslim

Ana Muslim mula diterbitkan pada Mei 1998. Logo Ana Muslim telah di ubah dan menerima konsep baru pada bulan Mac 2007 untuk edisi yang baru majalah Ana Muslim. Penggunaan logo baru adalah untuk menyuntik pembaharuan dari semasa ke semasa bagi memenuhi selera pembaca dan menghadapi cabaran era baru. Terdapat perubahan yang menyeluruh terhadap logo Ana Muslim. Perkataan “Ana” menggunakan huruf kecil tetapi dibesarkan saiznya. Ini sebagai penegasan yang menggambarkan Ana (saya) hebat. Melalui saiz yang besar ini dapat menunjukkan keyakinan diri. Perkataan Ana Muslim itu juga adalah satu doa. Di belakang tulisan Ana Muslim terdapat “kotak dialog” yang berwarna. “Kotak dialog” ini menggambarkan bahawa majalah Ana Muslim adalah untuk pembaca kanak-kanak. Elemen kanak-kanak dapat dilihat melalui “kotak dialog” dan juga font Ana Muslim yang menggunakan huruf kecil.

Majalah Ana Muslim merupakan majalah yang berkonsepkan Komik Pendidikan. Melalui lukisan kartun, penyampaian ilmu dan pendidikan dapat disampaikan dalam bentuk yang lebih santai di mana ia lebih mudah diterima oleh kanak-kanak.

Majalah ini juga menyokong dan menjadi bahan sokongan program j-QAF (Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab & Fardu Ain) oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sejajar dengan pendekatan konsep Islam Hadhari yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Selain daripada kandungan bahan j-QAF, kandungan lain yang sama penting yang diterapkan di dalam Majalah Ana Muslim ini ialah seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan juga Sains.

Majalah Ana Muslim juga memuatkan latihan, kuiz dan permainan yang menguji kekuatan minda kanak-kanak seterusnya merangsang penjanaan minda mereka ini. Tidak ketinggalan juga, pertandingan dan peraduan turut dimuatkan di dalam Majalah Ana Muslim bagi mewujudkan satu persaingan yang positif di kalangan kanak-kanak ini.